Sunday 6 July 2014

Mengukur Kejayaan diBulan Ramadhan

"Tunjukkanlah kami jalan yang
lurus." (Al-Fatihah: 6)

Sepatutnya apabila kita menyedari
bahawa kita semakin menghampiri ke
penghujung Ramadhan, kita perlu
semakin berwaspada dengan bermacam-
macam ujian yang akan melalaikan kita
daripada meraih berkat dan merebut
rahmat Allah SWT.
Kerana itu, kita perlu sentiasa ingat
kembali matlamat yang ingin kita capai
dan raikan di malam pertama Syawal
daripada ibadat puasa kita selama
sebulan, iaitu memperoleh taqwa kepada
Allah ‘Azza wa Jalla.
Itulah yang diperingatkan oleh Allah SWT
di dalam kalam suci-Nya: “Wahai orang-
orang yang beriman! Kamu diwajibkan
berpuasa sebagaimana diwajibkan ke
atas orang-orang yang dahulu daripada
kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Surah
Al-Baqarah, ayat: 183)
Untuk mencari kayu ukur ketakwaan
bukanlah sesuatu yang mudah. Tetapi,
ketakwaan di hati akan jelas terserlah
menerusi tingkah laku kita. Apakah
simptom-simptom mudah menunjukkan
hati kita sudah tersemai dan subur rasa
taqwa?
1 - Ibadat Fardu Dijaga, Ibadat Sunat
Tidak Terkecuali
Insan yang subur di hatinya rasa taqwa,
akan berasa takut dan gentar untuk
melawan dan mencabar perintah Allah
SWT. Dia akan berusaha sedaya upaya
menjaga solat lima waktunya, solat pada
awal waktunya, dan cuba menghadirkan
kekhusyukan di dalam solatnya.
Tidak mengapa andai khusyuk itu belum
jua datang, tetapi itu bukanlah menjadi
alasan untuknya berputus asa daripada
memburu kekhusyukan itu. Itulah
petanda hatinya punya keazaman mahu
menjadi kebanggaan Tuhannya.
Tidak cukup dengan ibadat yang fardu,
dia juga akan berusaha sedaya
upayanya untuk mengamalkan amalan-
amalan yang sunat. Dia merasakan
adanya kecacatan di dalam amalan
fardunya, maka dia ingin menutup
kecacatan tersebut dengan amalan sunat.
Tidak banyak pun tidak mengapa,
asalkan istiqamah dalam
mengamalkannya. Yang sedikit tetapi
istiqamah itu lebih baik daripada yang
banyak tetapi tidak berkekalan lama.
2 - Ujian di Pasar Raya
Antara simptom lain mekarnya taqwa di
dalam tapak semaian hati seseorang
insan ialah tatkala dia berada di pasar
raya. Biasanya di sinilah ramai manusia
kecundang dalam mengawal nafsunya,
petanda tarbiyyah Ramadhan sekalipun
tidak mampu memberikan impak kepada
nafsunya yang sudah lama ditarbiyyah
oleh Syaitan.
Insan yang bertaqwa hanya akan
membeli apa yang perlu, bukannya
tunduk mengikut arahan nafsu. Membeli
atas dasar meraikan sunnah Nabi SAW
untuk bergembira di hari ‘Aidul Fitr,
bukannya atas dasar berlumba siapa
yang paling cantik hiasan rumahnya.
Insan yang bertaqwa juga sedar di
pasarlah pergaulan di antara lelaki dan
wanita begitu tidak terkawal, ada banyak
jenis manusia dengan aneka pakaiannya
daripada yang anggun berseri hingga
yang tidak cukup kain umpama memakai
pakaian anak kecil. Insan yang bertaqwa
berusaha bersungguh-sungguh
mengawal dan menjaga pandangan
matanya, kerana yakin pandangan mata
itu salah satu panahan beracun Iblis.
3 - Ujian Akhlak
Seharusnya, di bulan yang mulia ini,
bukan sekadar perut dan syahwat sahaja
yang berpuasa, tetapi juga anggota
badan kita juga berpuasa. Rasulullah
SAW telah memberikan petunjuk secara
jelas kepada kita perihal orang yang
berpuasa menerusi sabdanya:
“Sesungguhnya puasa itu perisai. Maka
apabila seseorang dari kalangan kamu
berpuasa maka janganlah dia bercakap
perkara-perkara yang tidak baik, dan
janganlah melakukan perkara-perkara
fasiq, dan jangan bertindak seperti orang
yang jahil. Jika ada seseorang cuba
untuk memusuhinya atau memakinya
maka hendaklah berkata: Sesungguhnya
aku berpuasa.” (Hadis riwayat al-
Bukhari)
Kata Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali
rhm.: “Maka kesempurnaan puasa itu
adalah engkau menjaga seluruh
anggotamu daripada melakukan sesuatu
yang dibenci oleh Allah SWT.” (Bidayatul
Hidayah)
Adakah puasa kita di bulan Ramadhan
ini sudah memberi perubahan kepada
kita, daripada seorang yang becok
mulutnya dengan umpatan dan cacian
kepada lidah yang sentiasa dibasahi
dengan zikrullah? Daripada seorang yang
bermata keranjang, pantang ada sahaja
perempuan yang cantik pasti dilihatnya
menjadi seorang yang matanya basah
kerana menangis mengenangkan
dosanya yang bertimbun-timbun?
Belum lagi disentuh, adakah puasa kita
menjadi kita seorang yang boleh
mengawal kemarahan tatkala tangan
memegang stereng di jalan raya? Atau
masih kekal seperti dahulu, nampak
sahaja kereta dipandu perlahan di
hadapan mulut lancang berkata: “Ini
mesti perempuan yang bawak”, petanda
hati masih lagi gemar bersangka buruk
dan mudah dibakar emosi?
Ketiga-tiga simptom yang mudah ini,
andai belum wujud pada diri kita
sehingga ke hari ini, maka sewajarnya
kita merebut peluang-peluang terakhir di
akhir Ramadhan ini. Janganlah kita
tergolong di dalam golongan yang
disebut oleh Nabi SAW: “Berapa banyak
orang yang berpuasa, yang dia tidak
memperoleh apa-apa dari puasanya itu
selain dari lapar dan dahaga?” (Hadis
riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

No comments:

Post a Comment