Tuesday 3 June 2014

10 Petua Membina Sikap Positif

Petua 1 : Jangkakan Kejayaan
Hukum minda mengatakan apa yang
dijangkakan berkemungkinan besar akan
berlaku. Oleh itu, daripada membuang
masa menjangkakan kegagalan kenapa
tidak jangkakan kejayaan. Sekiranya anda
jangkakan kejayaan, fokus anda pastinya
hanya kepada cara untuk berjaya. Anda
gambarkan hanya nikmat dan erti sebuah
kejayaan, maka secara tidak langsung
anda akan menggarap sikap positif.
Malangnya dalam kehidupan ini kita
sering takutkan kegagalan. Cara fikir kita
menjurus ke arah itu. Oleh itu yang
tergambar dipemikiran kita hanyalah
halangan dan rintangan serta kepayahan.
Dalam memburu kejayaan anda tidak
boleh putus harapan. HARAPAN adalah
satu anugerah yang cukup besar Allah
berikan kepada manusia.
Manusia biasanya membangun ketahap
yang mereka jangkakan atau yang orang
lain jangkakan terhadap mereka. Oleh itu
jangkakan kejayaan dalam setiap usaha
yang anda lakukan. Kalau anda perlu
ubah perancangan untuk mencapai
sasaran, maka ubahlah. Pastikan juga
anda bertindakbalas secara positif
terhadap perkara-perkara yang mungkin
membantutkan kejayaan tersebut. Lihat
diri anda sebagai seseorang yang pasti
merealisasikan harapan yang digenggam.
Apabila kita rasakan yang kita tidak
punya masa depan, tiada harapan untuk
maju, tiada peluang untuk meningkatkan
keupayaan maka ia akan menjurus kita
kepada satu sikap negatif iaitu sikap
malas.

Petua 2 : Lakunkan Watak Orang
Cemerlang
Tidak dapat dinafikan setiap manusia
mempunyai kelemahan dan kekuatannya
tersendiri. Sebab itulah untuk berjaya kita
mesti mempunyai model ikutan (role
model) yang boleh ditauladani.
Cuba lihat senario berikut, katakanlah
anda sebagai seorang pelajar, telah dipilih
untuk berlakun dalam sebuah filem
tempatan. Kisahnya berkisar kehidupan
pelajar-pelajar sekolah dan anda telah
dipilih sebagai pelakun utama.
Bayarannya cukup lumayan iaitu
RM10,000 dan nama anda juga akan
dikenali ramai setelah filem ini
ditayangkan. Anda dikehendaki
melakunkan watak pelajar cemerlang.
Syarat untuk anda kekal sebagai pelakun
cuma dua iaitu, yang pertama anda
mestilah menjaga disiplin dan masa
anda. Maknanya, apabila pergambaran
bermula jam 5 petang maka anda mesti
berada dilokasi sebelum masa tersebut.
Yang keduanya pula, anda mesti
menghayati watak pelajar cemerlang
sepenuhnya. Sekiranya pengarah tidak
berpuas hati dengan anda, dia akan
gugurkan nama anda dari senarai pelakun
pada bila-bila masa. Pengarah tidak risau
sebab anda pelakun baru, satu ditolak
berpuluh akan memohon untuk berlakun.
Kalau anda berada dalam situasi di atas,
apa tindakan anda? Saya yakin anda
akan mula meneliti dan memahami plot
filem tersebut bersungguh-sungguh. Anda
mula menghafal skrip yang diberikan ayat
demi ayat biarpun ketebalannya
mencecah ratusan muka surat. Anda
akan mula menjiwai dan menghayati
watak pelajar cemerlang yang diberikan
kepada anda. Anda akan tiru gaya,
percakapan dan cara hidup mereka.
Pendek kata anda mahu penonton lihat
betapa realistiknya lakunan anda. Anda
mahu dikenali selepas usaha anda ini.
Anda mahukan ganjaran wang RM10,000
yang dijanjikan kepada anda.
Tidakkah anda terfikir betapa
beruntungnya kalau anda lakunkan
perkara yang serupa setiap hari dalam
hidup anda. Kenapa mesti anda
bersungguh-sungguh dalam lakunan
filem? Tidakkah anda sedar bahawa kita
semuanya pelakun di pentas dunia atau
di pentas kehidupan. Kenapa tidak
lakunkan watak orang cemerlang itu hari
ini. Anggapkan seolah-olah anda
berhadapan dengan kamera. Kalau anda
seorang pelajar, maka bertindaklah
seperti pelajar cemerlang di sekolah anda
sekarang! Sekiranya anda seorang
pekerja, bertindaklah seolah-olah anda
pekerja cemerlang sekarang! Mula
mengurus masa secara berkesan,
menglibatkan diri secara aktif, berperibadi
mulia seolah-olah anda sememangnya
cemerlang. Lakukannya setiap hari dan
hasilnya nanti anda akan perolehi apa
yang diperolehi oleh pelajar cemerlang
lainnya. Lebih malang lagi kalau anda
tidak mahu menjadi pelakun itu hari ini
maka Allah akan pilih orang lain untuk
menggantikan tempat anda. Orang lainlah
nanti yang akan berjaya. Mereka akan
jadi pemimpin, jurutera, ulamak, peguam
dan sebagainya. Orang lain yang akan
dikenali dan nama mereka disebut-sebut
sebagai orang yang membawa perubahan
dalam masyarakat. Orang lain yang akan
memperolehi pendapatan bukan sekadar
RM10,000 tetapi mungkin lebih tiap-tiap
bulan.
Anda tidak punya pilihan lain. Untuk
berjaya anda mesti mula berlakun hari ini.
Hayati watak orang cemerlang.
Berfikirlah, bercakaplah dan bertindaklah
seperti mereka yang cemerlang. Lama
kelamaan tabiat cemerlang akan sebati
dengan kehidupan harian anda. Ia akan
menjadi sikap baru anda. Anda akan
dapati mereka disekeliling anda menyedari
yang anda kini bersikap positif. Setiap
kebaikan yang bakal anda perolehi hasil
lakunan positif anda ini membuatkan
anda tidak mahu lagi kembali kepada
sikap negatif anda sebelum ini. Anda
mula memikirkan untuk hidup dalam
kelompok dan persekitaran baru. Apa
anda tunggu lagi? Lakunkanlah watak
orang cemerlang itu sekarang dengan
memerhatikan model ikutan anda.

Petua 3 : Ubah Penampilan Diri
Sikap positif terserlah melalui penampilan
diri yang positif. Kita mudah mengenali
mereka yang bersikap positif melalui
percakapannya, pakaiannya, rambutnya,
kasutnya, gayanya dan sebagainya. tetapi
kita lupa, sebenarnya kita mampu
melakukan sebaliknya iaitu membina
sikap positif melalui penampilan yang
positif. Ambil contoh yang paling mudah,
anda telah dijemput ke satu majlis
pelancaran oleh seorang rakan. Anda
mengenakan baju biasa sahaja dengan
berbaju kemeja lengan pendek dan
berseluar kasual. Sampai sahaja di sana,
anda lihat hampir kesemua mereka yang
hadir lengkap berbaju batik atau berkot
dan bertali leher. Apa perasaan anda?
Saya yakin walau bagaimana positif pun
sikap anda, anda pasti rasa bersalah dan
rendah diri. Berbeza pula bentuk
perasaan anda sekiranya anda hadir
dengan pakaian yang rapi, segak, kemas
dan bergaya. Anda pasti rasa penuh yakin
dan positif. Begitulah besarnya pengaruh
penampilan diri dalam membentuk sikap
positif dan emosi anda. Cuba fikirkan
sejenak bagaimana perasaan anda
apabila anda mengenakan baju baru ke
pejabat. Anda rasa lebih bersemangat
dan yakin.
Kemas, bersih dan rapi tidak semestinya
berjenama. Tidak salah mempunyai
pakaian dan aksesori yang berjenama
sekiranya anda mampu tetapi ia
bukannya suatu kemestian. Jangan pula
seperti kata pepatah 'biar papa asal
bergaya'. Anda perlu ingat bahawa
pelaburan yang telah anda buat dalam
membentuk penampilan diri atau imej
yang positif mestilah membawa pulangan
yang setimpal atau berbaloi. Kalau anda
melaburkan wang ringgit untuk
membentuk imej diri semata-mata untuk
bergaya dan menunjuk-nunjuk, maka
pelaburan itu merugikan anda. Pelaburan
yang dibuat mestilah mampu menjadikan
anda lebih positif dan produktif. Sebab itu
ramai jurujual profesional mempunyai
penampilan diri yang positif. Mereka
dilatih untuk berkeadaan sedemikian.
Mereka meraih keuntungan dan
pendapatan dengan mempunyai
penampilan positif. Mereka
mempengaruhi pelanggan dengan
penampilan diri begitu.
Beberapa perkara yang mesti diperhatikan
dalam membentuk penampilan diri:

1. Potongan rambut - Potongan yang
sesuai dengan peranan, kemas dan
menarik.

2. Pilihan warna dan corak - Pilihan
warna yang kena pada tempat dan
masa serta 'matching'.

3. Jenis pakaian - Sama ada batik,
kasual, sukan, kot dan sebagainya.

4. Kemas dan rapi - Sentiasa digosok
rapi.

5. Kasut - Kasut yang sesuai dengan
tujuan kehadiran kita di satu-satu
tempat.

6. Aksesori - Jam tangan, beg, gelang
dan rantai (bagi wanita), haruman
dan lain-lain.

7. Jenama - Bukan perkara utama
tetapi digalakkan bagi yang mampu.

8. Kesihatan diri - Keceriaan wajah,
kelihatan sihat, kuku, kulit dan
sebagainya.

9. Gaya - Cara berjalan, bercakap,
ketawa dan mimik muka.

10. Senyum - Rahsia utama penampilan
diri ialah senyuman yang terukir.

Tuntutan penampilan diri ini berbeza-
beza mengikut kedudukan anda dalam
masyarakat dan karier yang anda ceburi.
Walau siapa anda, sama ada sedar atau
tidak anda tetap dinilai oleh manusia lain
melalui penampilan diri. Sebab itu
permohonan untuk ke satu-satu
pekerjaan perlu melalui proses temuduga.
Mereka mahu melihat calon-calon secara
terus bukan sekadar untuk menguji
kebijaksanaan seseorang pemohon tetapi
juga untuk melihat penampilan diri yang
melambangkan sikap dan peribadi
seseorang. Penampilan diri positif perlu
dipatuhi oleh semua golongan
masyarakat termasuk pelajar, ibu bapa,
pekerja, eksekutif, pemimpin dan
sebagainya.

Petua 4 : Berkawan Dengan Orang
Berjaya
Rasulullah s.a.w sendiri pernah
bersabda, "kalau mahu kenal seseorang
itu maka kenallah kawan-kawannya".
Oleh itu sekiranya anda memilih kawan
yang positif, bergaul dengan mereka yang
berjaya, banyak berbincang tentang apa
yang mahu dicapai dimasa hadapan;
pastinya ia akan mempengaruhi
pemikiran dan tindakan harian anda.
Pastinya anda turut terdorong untuk
mencapai kejayaan dalam hidup anda
pula. Mereka yang gagal hanya akan
mampu menceritakan kisah-kisah
kegagalan mereka sedang mereka yang
berjaya pula akan menceritakan kisah-
kisah kejayaan mereka.
Untuk berjaya anda perlu berkawan
dengan mereka yang telah berjaya.
Belajar dari pengalaman dan pengetahuan
mereka. Belajar tentang cara mereka
membentuk personaliti dikalangan
masyarakat. Orang yang berjaya
selalunya mempunyai personaliti dan
karisma yang mengkagumkan. Personaliti
dan karisma ini bukannya semula jadi
sebaliknya mereka berusaha
membinanya. Kalau mereka boleh, anda
juga boleh melakukannya.

Petua 5 : Dalami Ilmu Kecemerlangan
Semangat ada ketikanya naik dan ada
ketikanya luntur. Ada ketikanya kita
terlupa tentang matlamat yang dikejar
disebabkan oleh pelbagai urusan dan
aktiviti lain. Ada ketikanya juga diri
terasa malas dan bosan. Semuanya ini
adalah lumrah hidup seorang manusia.
Untuk mengekalkan semangat dan
membina sikap positif maka anda
perlulah sentiasa mendalami ilmu
kecemerlangan diri. Anda boleh
mendalaminya dengan banyak membaca
buku-buku motivasi, berbincang dengan
rakan-rakan tentang perancangan anda,
menghadiri program dan ceramah
motivasi. Anda juga perlu mendengar
kaset-kaset motivasi dan mendapatkan
bahan-bahan daripada internet. Semakin
bertambahnya ilmu kecemerlangan diri
didada maka semakin positif dan matang
fikiran anda.

Petua 6 : Fokus Kepada Apa Yang Anda
Mahukan
Anda sering mendengar bahawa sikap
positif lahir dari pemikiran yang positif.
Namun begitu fahamkah anda apa yang
dikatakan fikir positif itu? Dalam hidup
kita, kita hanya akan bertindak dan
berusaha mengejar apa yang ada dalam
fikiran kita. Iaitu apa yang terlintas,
ternampak dan tergambar di fikiran.
Sebagai contoh mari kita lakukan aktiviti
yang cukup mudah. Keluarkan sehelai
kertas sekarang dan lakarkan suasana di
sebuah pantai yang indah permai.
Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk
anda menyiapkan lukisan ini. Jangan
pedulikan sama ada lakaran itu cantik
atau tidak, lakarkan sahaja apa yang
tergambar di fikiran anda tentang
suasana di pantai.
Baik sekarang saya tanya anda, ada atau
tidak lakaran kapalterbang di dalam
lukisan itu? Ada atau tidak jeti dari tepi
pantai sampai ke tengah laut? Ada atau
tidak budak menjual air? Kalau tiada
maka kenapa begitu? Jawapannya sebab
anda tidak terfikir tentangnya. Atau lebih
tepat lagi anda tidak langsung tergambar
tentangnya. Oleh itu bolehlah dibuat
kesimpulan bahawa kalau kita tidak
tergambar akan sesuatu maka kita tidak
mungkin dapat menghasilkannya.
Begitulah dari aspek kecemerlangan diri,
untuk anda menjadi orang berjaya anda
mesti gambarkan diri anda seorang yang
berjaya. Anda mesti mampu melihat apa
yang mahu dilakukan mulai hari ini untuk
menjadi orang berjaya.
Fikirkan pula, positifkah anda apabila
anda berkata:

- Mulai hari ini aku tidak malas lagi.
- Mulai hari ini aku tidak mahu tinggal
solat lagi.
- Aku tidak mahu main-main dalam kelas
lagi.
- Aku tidak mahu lawan cakap ibu bapa
lagi.
Positifkah anda? Jawapannya ialah tidak!
Hasrat anda memang baik tetapi fikiran
anda negatif sebab anda fokus kepada
apa yang anda tidak mahu. Anda
tergambar bagaimana anda main-main
dalam pekerjaan. Anda terbayang
bagaimana anda melawan cakap ibu
bapa, ketua dan sebagainya. Kalaulah ini
yang tergambar maka inilah juga yang
akan terhasil! Anda menghasilkan
sesuatu yang negatif sedangkan hasrat
anda baik.
Oleh sebab itu anda perlu ubah gambaran
minda anda kepada gambaran yang
positif dengan mengubah ucapan anda
seperti berikut:
- Mulai hari ini aku seorang yang rajin.
- Mulai hari ini aku solat lima waktu.
- Aku akan tumpu pada guru dalam
kelas.
- Aku ikut cakap ibu bapa.
Lihat, kata-kata di atas membawa
maksud yang sama tetapi dari sudut
yang positif. Maka yang tergambar juga
adalah gambaran yang positif. Kalau
yang positif anda nampak maka positiflah
juga tindakannya nanti. Memanglah anda
mungkin tidak berubah dengan hanya
sekali, dua kali atau sepuluh kali berkata-
kata secara positif. Tetapi kalau setiap
hari dan beratus-ratus kali anda amalkan
dalam hidup anda maka satu hari nanti
tanpa anda sedari anda menjadi orang
yang positif. Oleh itu ingatlah… fokus
kepada apa yang anda mahukan!

Petua 7 : Kejayaan Silam Membarai Diri
Dalam hidup kita ini pasti ada sekali dua
kita mencipta kejayaan sama ada kecil
atau besar. Waktu kecil dulu mungkin
kita pernah tewaskan rakan-rakan dalam
suatu permainan dan kita berbangga
dengannya. Mungkin juga kita pernah
dulunya dipuji atas pencapaiaan, kualiti
kerja atau kerajinan kita. Mungkin kita
pernah menerima anugerah sebagai
pemenang dalam apa jua pertandingan.
Mulai hari ini cuba ingatkan kembali
sebanyak mungkin kenangan manis ini
dan senaraikan dalam diari anda. Setiap
kali anda rasa tertekan, negatif, malas,
bosan dan sebagainya maka bacalah
diari anda ini dan hayati semula saat-
saat tersebut. Gambarkan dengan jelas
apa yang berlaku ketika itu. Rasakan apa
yang anda rasakan ketika itu. Semangat
anda akan membara sekiranya anda
lakukannya bersungguh-sungguh.
Semangat untuk kekal cemerlang ini akan
menjana sikap yang positif.
Tidak kira betapa gagalnya anda rasa
hidup ini namun pasti pernah sekurang-
kuangnya sekali anda pernah dipuji atas
kebaikan dan kejayaan silam.
Lakukan perkara berikut, sediakan satu
buku kecil dan senaraikan semua
kejayaan anda sejak dari dahulu hingga
ke hari ini, sama ada kecil atau besar.
Kemudian baca dan hayati apa yang anda
tulis itu satu persatu, gambarkan keadaan
ketika itu, rasakan perasaan anda ketika
itu dan dengar apa yang anda dengar
ketika itu. Lakukannya dengan penuh
kesungguhan dan rasakan satu getaran
perasaan yang positif yang mengalir
dalam setiap urat nadi anda. Sentiasa
kemas kini buku kecil anda ini dengan
kejayaan-kejayaan baru. Ia adalah
sumber tenaga dan kekuatan anda.
Anda mungkin tidak mengingati
kesemuanya, tidak mengapa, ambil masa
anda. Anda boleh tambah senarai
kejayaan anda pada bila-bila masa
sahaja.
Satu tabiat yang baik, mulai hari ini
rakamkan setiap peristiwa penting dalam
hidup anda sama ada melalui gambar
atau rakaman video.
Setiap kali anda rasa tertekan, anda rasa
tidak dihargai, anda rasa putus asa –
lihat kembali buku kecil dan rakaman
anda ini.

Petua 8 : Saranan Diri Positif
Untuk kekal dalam sikap positif anda
perlu saran diri anda dengan katajaya
yang merangsang jiwa dan fikiran. Anda
juga boleh gunakan petikan mutiara kata
daripada ahli ilmu, petikan al-quran serta
hadith. Dengan melazimkan hidup anda
berpandukan katajaya dan petikan-
petikan ini maka ia memberi anda
kekuatan untuk menyahut cabaran dan
mengatasi segala masalah.
Anda juga boleh cipta sendiri katajaya itu,
misalnya:
“Kalau orang lain boleh.. Aku juga
BOLEH!”
“Setiap kata-kata pasti akan dikota!”
“I’m the best!”
“I can do it!”
Jadikan kata-kata ini sebagai sebahagian
dari hidup anda. Saran diri anda setiap
hari dengan kata-kata ini hingga ia lazim
dalam minda anda.

Petua 9 : Soal Diri Dengan Soalan Positif
Dalam sehari anda menyoal beribu-ribu
soalan kepada diri anda, daripada soalan
yang mudah-mudah hinggalah kepada
soalan-soalan yang membentuk masa
depan anda. Anda mungkin bertanya
soalan-soalan mudah seperti hari ini nak
pakai baju apa? Nak makan di mana?
Nak keluar denagn siapa? Nak balik pukul
berapa? Dan sebagainya. Soalan-soalan
ini tidak menjejaskan kehidupan dan
peribadi anda. Tetapi ada ketikanya anda
menyoal diri dengan soalan-soalan yang
boleh memberikan kesan terhadap hidup
anda seperti, Nak ambil kursus apa? Nak
belajar lama mana? Nak rebut peluang
atau tidak? Dan sebagainya.
Orang berjaya menyoal diri dengan
soalan-soalan yang boleh memajukan
dirinya seperti:
- Apa hikmah disebalik ujian Allah ini?
- Apa lagi yang boleh aku buat untuk jadi
lebih baik?
- Apa yang belum aku selesaikan lagi?
- Apakah setakat ini sahaja kemampuan
diri yang dianugerahkan oleh Allah
kepada aku?
- Apakah aku mahu menyerah hanya
dengan kegagalan sementara ini?
Semua soalan ini menjadikan anda lebih
positif terhadap apa yang berlaku. Soalan
yang diajukan akan membina kekuatan
dalaman anda. Semakin berkualiti soalan
yang dibentuk semakin berkualitilah diri
anda.
Perbezaan antara seorang insan dengan
insan yang lain ialah soalan lazim yang
secara konsisten terbit difikiran. Manusia
lemah sering mengutuk dan
memperkecilkan dirinya sendiri. Mereka
mungkin berkata:
- Nak buat macam mana aku ni lemah.
- Engkau lain aku lain.
- Engkau bolehlah aku ni siapa.
- Dah memang nasib aku begini, terima
ajer lah..
- Buat berkali-kali pun gagal juga baik
tak payah..
- Dah tahu diri tu bodoh buat apa tunjuk
pandai.
Soalan yang positif akan:
- Megubah persepsi dan cara fikir kita
- Mengubah fokus kita
- Memberikan sumber kekuatan baru
kepada kita.

Petua 10 : Dapatkan Model Ikutan
Model ikutan adalah seseorang yang
anda kagum dengan pencapaiannya dan
mahu mengikuti jejak langkahnya.
Dapatkan beberapa model ikutan
terutamanya mereka yang telah berjaya
dalam bidang yang anda mahu ceburi.
Namun begitu sebagai orang Islam,
model ikutan kita yang pertama pastilah
Nabi Muhammad S.A.W.
Selain daripada Nabi s.a.w yang lain
semuanya ada kelemahan. Malahan kita
tidak boleh nafikan bahawa ulamak juga
ada kelemahan sebab itu pendapat
ulamak secara ijmak lebih diterima pakai
dalam Islam berbanding pendapat hanya
seorang ulamak sahaja.
Setelah anda kenal pasti model ikutan
anda, cuba dapatkan gambar mereka.
Baca juga kisah hidup mereka. Pelajari
bagaimana mereka merancang dan
bertindak. Cari potongan kata-kata
ucapan mereka yang boleh dijadikan
panduan hidup. Selami falsafah hidup
mereka dan lihat bagaimana mereka
mengatasi setiap masalah yang datang
dalam hidupnya. Sebab semakin besar
kejayaan seseorang itu maka semakin
besarlah cabaran serta masalah yang
telah mereka hadapi. Kejayaan dan
pengorbanan adalah dua perkara yang
sering berada ditempat yang sama.
Kejayaan bukanlah apa yang kita miliki
tetapi apa yang kita pelajari. Siapa kita
dipenghujung kehidupan ini jauh lebih
penting berbanding apa yang kita perolehi
ketika itu.
SEKIAN

No comments:

Post a Comment