Wednesday 18 June 2014

Perubahan perlukan strategi, sikap positif

PERUBAHAN memerlukan perancangan yang
sistematik dan berhati-hati kerana apa juga
bentuk perubahan yang ingin dilakukan,
persediaan awal perlu diberi keutamaan.
Niat untuk berubah daripada satu keadaan
atau sikap yang mundur, ketinggalan,
kegagalan, kepada satu keadaan dan sikap
yang lebih baik serta cemerlang ialah satu
keinginan yang murni.
Inilah keinginan yang perlu ada dalam diri
setiap individu untuk berubah kepada satu
keadaan yang lebih baik.

Hakikat itu dituntut dalam ajaran Islam
sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran,
menerusi ayat 11, surah Al-Ra'd yang
bermaksud, "Sesungguhnya Allah tidak
mengubah nasib sesuatu kaum itu
sehinggalah mereka mengubah keadaan
yang ada pada diri mereka sendiri".
Seorang remaja sudah pasti ingin menjadi
seorang dewasa yang berjaya, begitu juga
seorang pelajar sudah tentu ingin menjadi
seorang pelajar yang cemerlang hingga ke
menara gading.
Seorang pekerja pula pasti bercadang
menambah kemahiran diri agar dapat
meningkatkan kecekapan dan produktiviti
kerja.
Malahan setiap dari kita sering memasang
azam untuk berubah dalam apa juga perkara
lebih-lebih kali apabila menjelang ketibaan
tahun baru.
Jika keadaan masa kini tidak menunjukkan
perkembangan positif, bermakna kita perlu
melakukan sesuatu ke arah masa depan
yang lebih baik dan cemerlang.
Perubahan adalah satu keadaan yang perlu
dilakukan dan kadang kala ia tidak dapat
dielakkan cuma, perlu dirancang lebih teliti
dengan sistematik.
Terdapat juga perubahan yang berlaku
secara tiba-tiba tanpa perancangan rapi.
Bagaimanapun, adalah lebih baik memiliki
strategi pengurusan terancang bagi
disesuaikan dengan keadaan semasa untuk
mengelakkan perkara yang boleh
mendatangkan kerugian disebabkan
perubahan yang berlaku secara tiba-tiba.

Kenapa seseorang perlu kepada perubahan
dan mengapa perubahan itu perlu dilakukan
dengan perancangan yang rapi?
Merancang untuk berubah mendedahkan kita
kepada sesuatu keadaan yang baru dan
persediaan awal dapat membantu dalam
menjalani kehidupan yang baru itu.
Matlamat utama perubahan ialah mencapai
tahap yang lebih baik daripada sebelumnya
dan untuk mencapai tahap itu, sudah pasti
persediaan sewajarnya perlu diadakan.
Persediaan boleh berlaku dalam bentuk
persediaan minda dan emosi, persediaan
kewangan, maklumat yang tepat, dan
sebagainya.

Bagi seorang pelajar, jika matlamatnya
adalah untuk berjaya dalam pencapaian
akademik, dia akan bersedia dengan cara
membuat jadual pelajaran yang sistematik
dan tersusun.
Selain itu pelajar yang ingin berjaya akan
mengulangkaji pelajaran, menghadiri kelas
tuisyen, di samping mengadakan
perbincangan berkumpulan dan bertukar-
tukar nota.

Pelajar itu juga akan memastikan
memperoleh jumlah tidur mencukupi,
mendapat makanan seimbang dan
memelihara tahap kesihatan yang baik
secara berterusan.
Beberapa langkah yang perlu diberi
perhatian dalam merancang perubahan bagi
memastikan apa yang dirancang dapat
dicapai ialah:

Tetapkan tujuan dan objektif sesuatu
perubahan yang hendak dilakukan. Individu
perlu menetapkan apakah matlamat dan
tujuan perubahan dilakukan.

Tujuan perlu
jelas agar persediaan yang dilakukan dapat
membantu mencapai objektif yang diingini.
Menilai keperluan terhadap perubahan.
Individu perlu menilai sama ada perlu
dilakukan perubahan atau tidak kerana
dalam sesetengah situasi, perubahan tidak
perlu.
Perubahan yang dibuat haruslah sesuatu
yang berada dalam kawalan individu
berkenaan.

Terdapat perubahan yang
berlaku bukan di bawah kawalan mana-mana
individu sama ada dari segi matlamat dan
objektif mahupun dari segi prosesnya.
Oleh yang demikian, agak sukar untuk
melakukan perubahan dan persediaan ke
arah itu.

Cara terbaik ialah memantau perubahan
yang berlaku agar tidak menjejaskan
kestabilan diri dan kehidupan.
Sebagai contoh, perubahan biologikal dan
fisiologikal seperti perubahan hormon dalam
darah ketika baligh.
Perubahan yang berlaku ini seringkali
mengejutkan kebanyakan remaja.

Ada antara mereka yang tidak dapat
menerima perubahan itu sehingga
menimbulkan pelbagai masalah.
Bagi mengatasi kekalutan yang melanda,
langkah terbaik ialah bersedia awal seperti
memahami perubahan yang biasa berlaku
pada ketika itu, hadapi dengan perasaan
terbuka, berfikiran positif dan dapatkan
nasihat mereka yang sudah melalui
perubahan itu.
Sebagai seorang Muslim, iman dan takwa
kepada Allah menjadi tunjang utama dalam
melakukan perubahan membabitkan sikap
dan minda agar perubahan yang dilakukan
tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Mempelajari teknik pengurusan perubahan
perlu untuk memastikan setiap perubahan
yang ingin dilakukan mencapai
matlamatnya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir
Mohamad pernah berkata ketika
melancarkan Wawasan 2020 bahawa,
"Perancangan yang baik dan sistematik ialah
perancangan yang bukan saja cantik di
kertas, tetapi yang mampu dilaksanakan dan
membawa kejayaan".

Dalam dunia ini, tiada sesiapa yang
merancang untuk gagal, tetapi kegagalan
dalam hidup yang sebenarnya ialah
kegagalan untuk merancang dan
melaksanakan apa yang telah dirancang.

No comments:

Post a Comment