Saturday 20 December 2014

Cara Mengawal Emosi

Menghargai orang lain

Ucapkan terima kasih dengan penuh ikhlas
pada sesiapa jua yang membantu, menegur
dan yang memberikan anda senyuman.
Berikan mereka tanda penghargaan dengan
ucapan ' thank you ' atau 'terima kasih' yang
ikhlas, seikhlas yang mungkin sehingga
rasa keikhlasan tu meresap jauh ke dalam
hati anda, sejauh dan setulus yang
mungkin.
Dengan ini, anda dapat membentuk diri
anda menjadi seorang yang pemaaf, malah
dalam jangka masa panjang dapat
menghalang emosi negatif dari menompok
tebal di minda anda. Jika terdapat banyak
emosi negatif berkumpul di sekeliling kita,
ia membentuk ‘tembok’ yang sukar
ditembusi dan menyebabkan motivasi tidak
berkesan selagi ‘tembok’ ini tidak
dipecahkan.
Beri penghargaan pada mereka yang
berada berdekatan dengan anda. Di waktu
pagi, hargai ibu anda yang menyediakan
sarapan untuk anda dengan ucapan terima
kasih setulus hati supaya dia rasa cukup
dihargai. Hargai jasa ketua anda yang telah
mengambil anda sebagai pekerjanya di
organisasi miliknya. Hargai kekasih anda
yang selalu menyayangi anda dan
menjadikan anda penyeri hidupnya.
Akhir sekali, hargai Allah s.w.t kerana
telah memberi anda nyawa, kecerdikan dan
peluang untuk anda hidup bagi
membolehkan anda buat yang terbaik hari
ini, lebih baik dari hari-hari sebelumnya.
Jadikan pencapaian hari ini sesuatu yang
terbaik buat diri anda! Jika kita melatih diri
untuk menghargai orang lain, mereka akan
menghargai kita juga.
Kekurangan sebagai kekuatan
Biasanya, apabila melihat orang lain yang
lebih bijak, lebih cantik, lebih bahagia dan
lebih sempurna dari kita, kita cenderung
untuk merasa 'kecil', rendah diri dan tak
setanding orang lain. Perasaan begitu
sebenarnya adalah negatif. Anda haruslah
menjadikan kekurangan dan kelemahan
anda sebagai kekuatan anda. Jadikan
kekurangan anda sebagai sebagai
pembakar semangat untuk terus
memajukan diri.
Mungkin mereka hebat hari ini, tapi tak
semestinya mereka akan tetap hebat
esoknya. Hidup ini penuh dengan
kemungkinan dan berpusing seperti roda,
kadangkala kita di atas, dan kadangkala di
bawah. Untuk terus berada di atas, kita
perlulah sentiasa belajar, menggali ilmu
dan menambah kemahiran sepanjang
masa. Kita juga perlu mengenal pasti semua
kekurangan dan kelemahan diri dan
menerokai kekuatan sendiri.
Janganlah anda merasa rendah diri dan
terlalu risau dengan kelebihan orang lain
kerana anda hanya perlu fokus kepada diri
sendiri dan jangan terlalu kisahkan orang
lain. Letakkan matlamat untuk diri anda
dan jangan fokus untuk bersaing, tapi
fokuskan untuk mencapai matlamat anda.
Anda akan nampak kemajuan dalam diri
sebagai kesannya.
Moga tips ini memberi semangat buat anda.
Bagaimana untuk
menggembirakan hati yang
sengsara, sedih dan kecewa.
Pelbagai cara dapat dipraktikkan untuk
menghilangkan rasa sengsara, sedih dan
kecewa tetapi keberkesanannya terpulang
pada ketahanan mental, emosi dan
kesabaran anda. Di sini, terdapat 7 tips asas
untuk menggembirakan hati yang sengsara,
sedih dan kecewa serta cara-cara untuk
berdepan dengan emosi tersebut.

1. Latih minda melupakan kenangan
pahit.
Melatih minda melupakan kenangan pahit
perlulah diaplikasikan secara berterusan.
Anda akan sering merasa sedih dan suram
apabila mengenang kembali kenangan
pahit dan memori silam yang lalu. Kita
seharusnya memisahkan hubungan di
antara perasaan kini dengan emosi yang
lalu bagi menetapkan azam dan fokus
kepada keluarga, rakan-rakan, kerjaya,
cita-cita dan masa depan. Anda tidak dapat
melupakan semua memori pahit secara
serentak, maka haruslah dilakukan secara
berperingkat dengan mengalihkan
perhatian anda kepada perkara lain. Proses
ini mengambil masa, tetapi ia boleh
dipercepatkan dengan adanya disiplin diri.

2. Buang perasaan risau yang melampau.
Ada dua kesan dari sikap risau yang
melampau, pertama ia menarik masalah
dan musibah dan yang kedua, memberi
kesan buruk pada kesihatan anda dari segi
fizikal dan mental. Perasaan risau yang
melampau boleh membuat anda selalu
menjadi sedih dan kecewa malah takut.
Anda haruslah belajar untuk bertenang dan
melatih diri anda mengawal emosi bagi
mengurangkan perasaan risau yang
melampau.

3. Belajar rajin bersyukur.
Ucap syukur ke atas kesemua yang anda
ada, misalnya ucap syukur kerana anda
masih boleh melihat dan menarik nafas
tiap kali bangun tidur dan juga mempunyai
kawan rapat yang memahami. Ucap syukur
seikhlas hati, sebanyak yang mungkin,
seikhlas mungkin hingga rasa syukur tu
meresap jauh ke dalam diri anda.

4. Belajar menjadi pemaaf.
Sikap pemaaf dapat membersihkan hati
dari perasaan negatif dan emosi-emosi
negatif (seperti takut, sedih, kecewa,
marah, cemburu dan dendam). Ia juga
dapat meneutralkan gelombang fikiran
negatif yang terdapat di minda anda.
Ketahuilah, anda selalu rasa sedih dan
kecewa kerana anda tak memaafkan
kesalahan diri anda di masa lalu atau anda
tak memaafkan kesalahan orang lain
tehadap diri anda satu ketika dulu.
Belajarlah menjadi seorang pemaaf dan ia
dapat menghilangkan perasaan-perasaan
negatif dan menarik ketenangan datang
pada diri anda.

5. Ketawa, ketawa dan terus ketawa.
Ketawalah apabila terdapat perkara yang
menggembirakan anda dan menjadikan
anda girang. Tontonlah video yang lucu
atau baca cerita yang lucu, dekatkan diri
anda dengan rakan-rakan yang lucu serta
cari " funny side " dalam setiap situasi, agar
anda boleh ketawa secara semulajadi.
Ketawa dapat menghilangkan rasa sedih
dan kecewa dalam diri anda.

6. Ubah fikiran
Kita tidak boleh mengubah situasi yang
membuatkan kita kecewa, sedih dan
murung tetapi, kita boleh merubah fikiran
kita dan apa yang kita fikirkan tentang
situasi-situasi tersebut walau seburuk
manapun ia. Rahsianya, cari sinar mentari
di sebalik mendungnya awan. Walaupun
perkara tidak berpihak kepada anda, tetapi
anda harus mencari cara bagaimana anda
boleh jumpa nilai-nilai positif di dalamnya.
Anda menjadi apa yang anda selalu
fikirkan. Fikiran yang buruk akan
mendapat akibat yang buruk. Ini hukum
alam dinamakan hukum sebab dan akibat
atau dikenali ‘ Law Of Attraction’.

7. Keraskan hati.
Keraskan hati anda bermaksud hati anda
mempunyai kesabaran yang tinggi, pandai
mengawal emosi dan menerima hakikat
dengan hati terbuka. Allah menurunkan
musibah, permasalahan dan macam-macam
lagi bukan sekadar dugaan, tapi balasan
pada perbuatan-perbuatan anda di masa
lalu. Buat baik, dibalas baik, begitu juga
sebaliknya. Itulah perlunya kita bersikap
baik dan berfikir yang baik-baik pada
semua orang, benda, perkara, situasi dan
keadaan. Sebelum masuk tidur, set minda
untuk jadi ceria pada keesokan harinya
dan lafazkan dengan nada berbisik, relaks
dan tidak terlalu mendesak diri. Selepas
bangun tidur, katakan pada diri ini adalah
hari yang baru untuk anda dan tekadkan
diri untuk menjadikan hari yang baru itu
hari yang baik, lebih baik dari sebelumnya.