Tuesday 6 May 2014

Prinsip Itik Berenang Bagi Pelajar Cemerlang - OsmanAffan.com

Adik-adik yang saya hormati sekalian, pernahkah adik-adik
melihat itik yang sedang berenang di dalam kolam atau
tasik? Itik-itik itu semua kelihatan berada di permukaan air
dengan tenang dan selesa. Pergerakan mereka sangat
lancar dan mereka bergerak ke depan, kiri dan kanan
dengan begitu lembut dan indah.
Namun, tahukah kita apa yang berlaku di bawah
permukaan air itu? Sedarkah kita yang di bawah
permukaan air itu kaki itik sedang bekerja keras mengayuh
hampir ke semua arah bagi memastikan itik kekal timbul?
Saya baca kisah itik berenang ini di dalam buku Tuan
Fadzli Yusof ‘Kuasa Hijrah, kuasa untuk berubah’. Di dalam
buku ini, Tuan Fadzli ada ceritakan tentang satu prinsip
yang diamalkan oleh Tuan Nizal Mohammad, pengacara TV
terkenal. Menurut Tuan Nizal, walaupun seseorang yang
BERJAYA itu kita lihat nampak tenang dan bersahaja,
mereka sebenarnya sedang bekerja keras dan bertungkus-
lumus dalam usaha mereka mencapai kejayaan.
Kita tidak nampak usaha kerja keras mereka kerana apa
yang kita nampak adalah di bahagian permukaan sahaja,
sama seperti itik yang sedang berenang. Itik kelihatan
sedang bergerak tenang di atas permukaan air tetapi
sebenarnya di bawah permukaan air, kakinya bekerja keras
mengayuh air agar ia kekal timbul di permukaan.

Mari kita lihat prinsip ini pada pelajar cemerlang. Pernahkah
adik-adik semua tertanya-tanya mengapa pelajar
cemerlang kelihatan tenang sahaja. Walaupun mereka
cemerlang dalam peperiksaan, mereka masih ada masa
untuk masuk pelbagai persatuan, bertanding dalam aktiviti
sukan dan mewakili sekolah dalam banyak perkara. Adakah
mereka tenang kerana semua perkara ini MUDAH sahaja
buat mereka?
SUDAH TENTU TIDAK!
Sama seperti prinsip itik berenang tadi, pelajar cemerlang
juga bekerja sangat keras untuk mencapai kejayaan.
Walaupun mereka nampak tenang, fikiran mereka sentiasa
bekerja dan berfikir untuk mencari jalan ke arah kejayaan.
Jika pelajar KURANG CEMERLANG rasa belajar itu susah
dan memeningkan kepala, pelajar CEMERLANG juga
rasakan perkara yang SAMA. Bezanya, pelajar cemerlang
teruskan belajar dan bekerja keras kerana mereka tahu,
usaha mereka akan membawa mereka ke arah kejayaan.
Mereka tidak merungut tentang susah belajar kerana ia
adalah sebahagian daripada proses mencapai
kecemerlangan. Bayangkan bagaimana kalau itik merungut
setiap hari, “Ishhh…susahlah nak kayuh-kayuh air ni…
tenggelam sajalah senang!”
Jadi adik-adik semua, ada satu perkara penting perlu kita
ingat hari ini.
Jika kita rasa belajar itu susah, jika kita rasa kepala kita
pening dan jika kita rasa hampir putus-asa untuk belajar,
jangan bimbang, pelajar cemerlang juga rasakan perkara
yang sama. Susah, pening dan rasa mahu putus-asa itu
adalah normal, bukan bermaksud kita lemah. Apa yang
akan membezakan kita dengan pelajar lain ialah walaupun
kita rasa pening, susah dan mahu putus-asa, kita
teruskan juga berusaha untuk belajar.
Saya ucapkan Selamat Berjaya buat adik-adik semua dan
Selamat Berenang!!

No comments:

Post a Comment